Perutusan CEO

 

Profile

Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Selamat datang ke Kolej Ketengah.

Kolej Ketengah merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bernaung di bawah Syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd (KHSB) iaitu syarikat anak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kolej Ketengah menawarkan program-program akademik 'HOME-GROWN' pada peringkat Sijil dan Diploma dalam bidang Teknologi Maklumat, Aplikasi Multimedia dan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Dengan menjalinkan usahasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) program pengajian peringkat Sarjana Pentedbiran Perniagaan telah dijalankan. Manakala pada tahun 2018 beberapa program seperti Diploma Perakaunan, Diploma Sumber Manusia dan Diploma Pemasaran akan dijalankan secara 'FRANCAIS' dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kolej Ketengah juga menjalankan kerjasama dengan pihak luar dalam  menawarkan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) selama 6 bulan dalam bidang Kimpalan 6G, Industri Safety Skills, Pemasangan Paip & Fitter, Insulasi Paip Gas, Oil & Gas Scalfolding. Program ini mendapat penajaan penuh daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW). Para Graduan yang tamat belajar hampir 90% mendapat pekerjaan selepas tamat belajar. 

Kolej Ketengah juga merupakan Pusat Latihan Berdaftar di bawah HRDF. Pelbagai Kursus Jangka Pendek dijalankan seperti Sijil Bahasa Inggeris Komunikasi, Sijil Pengurusan Restoran, Sijil Teknologi Maklumat, Sijil Jahitan Jubah, Baju Melayu dan langsir, Sijil Gunting Rambut, Sijil Pembaikian Penghawa Dingin, Sijil Asas Solekan, Sijil Pemasangan Kamera Litar Tertutup dan lain-lain sijil kemahiran. Penyertaan terbuka kepada semua kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam.

Kolej Ketengah sangat komited dalam membantu pelajar luar bandar mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik yang tinggi dan  persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan. Kolej Ketengah memberi jaminan bahawa program-program akademik memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selamat datang diucapkan kepada ke semua pelajar Kolej Ketengah bagi kemasukan Jun 2018. Semoga semua pelajar berazam untuk menuntut ilmu dengan baik dan belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan bersistematik. Sekalung penghargaan kepada warga kerja Kolej Ketengah yang telah sama-sama mengembeling tenaga memajukan Kolej Ketengah ke tahap ini. InsyaAllah, Kolej ini akan terus berkembang maju dan kita mampu menjadikan ia sebagai pusat pendidikan yang bernilai tinggi, berwadahkan ilmu untuk keperluan demi kebaikan bersama.

Sekali lagi, saya menyeru agar semua warga Kolej Ketengah terus berganding bahu mempelopori kecemerlangan berterusan dan menanam cita-cita unggul membina landasan untuk pelajar luar bandar khususnya yang berada di wilayah Ketengah untuk mengapai impian mereka. Semoga Kolej Ketengah akan menjadi sebuah IPTS yang hebat dan gemilang ke arah pembangunan insan kelas pertama.

Tiada halangan hanya peluang, impian menjadi realiti.

Sekian, terima kasih. 

 

Emisham bin Embong - Ketua Pegawai Eksekutif

1 Jun 2018

You are here:Laman Utama MENGENAI KAMI Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif